MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
Badan Pencegah Rasuah (BPR) harus menjelaskan laporan media massa yang mengelirukan dan sama ada ia pernah menyiasat percutian Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Eusoff Chin di New Zealand tahun 1994.
Laporan Utusan Malaysia menyatakan:
"Kuala Lumpur 8 June - BPR sedang mempertimbangkan untuk mengambil keterangan daripada Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin berhubung kenyataan kelmarin yang turut menyentuh soal perbelanjaan melancong ke New Zealand pada 1994.
"Kita sedang meneliti kenyataan Eusoff yang didedahkan dalam akhbar dan kita belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut," kata Ketua Pengarah, Datuk Ahmad Zaki Husin ketika dihubungi disini, hari ini.
"Sementara itu, Eusoff yang ditemui para pemberita petang ini, menafikan beliau disiasat oleh BPR berhubung dakwaan beliau bercuti di New Zealand pada Disember 1994 atas tajaan seseorang.
"'Saya tidak tahu mengenainya dan tiada sebarang pegawai BPR yang datang. Ini khabar angin,' katanya kepada pemberita hari ini."
Laporan Utusan Malaysia bertentangan dengan laporan media massa tentang pernyataan Eusoff Chin pada Selasa apabila beliau membalas komen Mentei dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim tentang sistem kehakiman Malaysia di Canberra pada akhir bulan lepas.
Dalam persidangan akhbar pertamanya, Eusoff berkata bahawa percutiannya di New Zealand telah disiasat dan dibebaskan dari tuduhan oleh BPR, seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Sun pada 7 Jun 2000:
"Beliau menegaskan bahawa tuduhan itu tidak baru kerana tuduhan itu pernah disebut dalam surat layang pada 1995.
"Beliau berkata beliau menjemput pihak berkuasa untuk menyiasat semua hakim yang dinamakan dalam surat itu melalui Peguam Negara."
"BPR mengemukakan tuduhan terhadap saya. Saya menunjukkan resit. Tiada orang yang membayar percutian itu. Saya yang membayar dengan sendiri," kata beliau.
Persoalannya, mengapa BPR kini baru mempertimbangkan untuk mengambil keterangan daripada beliau berkenaan percutiannya di New Zealand pada 1994 jika BPR telah menyiasatnya dan membebaskannya dari tuduhan pada 1995? Adakah percutian Eusoff di New Zealand disebut dalam surat layang hakim Mahkamah Tinggi pada 1995?
Persoalan kedua, jika BPR telah mengemukakan tuduhan terhadapnya, dan beliau telah menunjukkan resit itu, mengapakah Eusoff menafikan beliau telah disiasat oleh BPR dalam laporan Utusan Malaysia hari ini?
Eusoff berkata bahawa beliau telah disiasat oleh BPR menjelang penyiasatan terhadap surat layang hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 1995, maka BPR harus menjelaskan apakah tuduhan-tuduhan yang melibatkan Eusoff yang telah disiasat pada masa itu dan hasil siasatan BPR.
Merujuk kepada gambar beliau bercuti dengan peguam Datuk V.K. Lingam yang disebar di Internet dan dikritik oleh Rais sebagai "perbuatan bergaul yang tidak konsisten dengan tingkah laku atau pembawaan seorang tokoh kehakiman", Eusoff bekata bahawa gambar itu diambil selepas beliau bersua dengan Lingam secara kebetulan".
Menurut akhbar The Sun (7 Jun 2000), inilah yang dikatakan oleh Eusoff:
"Saya terserempak dengannya (Lingam) di sana. Sebagai seorang rakyat Malaysia berada di negara asing, saya berasa gembira untuk bertemu dengan rakyat Malaysia. Saya memberitahunya saya pergi ke zoo dan beliau bertanya sama ada beliau boleh ikut sama."
"Saya memberitahunya saya akan menaiki bas ke sana dan beliau berkata beliau tidak kisah, jadi beliau ikut sama. Beliau juga ingin bergambar dengan saya dan saya bersetuju."
4 gambar yang disebarkan di Internet adalah berkaitan dengan percutian Eusoff bercuti di New Zealand dengan Lingam. Tiada gambar bas tetapi terdapat satu gambar menunjukkan 2 keluarga berada di bot. Rakyat Malaysia masih menunggu penjelasan Eusoff mengenai gambar itu.
Wartawan veteran, MGG Pillai telah mencabar tuntutan Eusoff bahawa beliau "terserempak’ dengan Lingam di New Zealand di Internet hari ini, dengan memberi butir-butir iaitu Eusoff dan Lingam pergi ke New Zealand dengan menaiki kapal terbang yang sama, iaitu New Zealand Airways flight NZ73 dari Singapore ke Auckland pada 22 Disember 1994 dan kemudiannya menaiki Flight NZ1541 di antara Auckland dan Christchurch pada hari itu.
Pillai telah mengemukakan tuduhan yang serius, jika Eusoff tidak mematahkan tuduhan itu, kebolehpercayaan penjelasannya iaitu beliau "terserempak" dengan Lingam akan terjejas.
Eusoff harus meletak jawatan sebagai Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan dengan segera jika beliau tidak sedia mematahkan tuduhan Pillai.
|